Seingat saya seawal darjah dua ketika saya ditanya oleh guru apa cita-cita bila besar nanti, saya sudah menjawab ingin menjadi guru. Namun, hampir seluruh murid lain juga memberi jawapan yang sama! Jadi saya simpulkan jawapan itu diberikan kerana merasakan bahawa guru adalah yang paling hebat kerana guru ada di depan kita waktu itu. Rasa macam tiada yang lebih bagus dari menjadi seperti guru kita bila besar nanti.

Namun bila sudah darjah empat, saya sudah melangkah ke fasa lain pula kerana jawapan yang diberikan berlainan pula. Saya katakan saya ingin menjadi seorang pensyarah! Sedangkan waktu itu, maksud pensyarah dan tugas-tugasnya pun saya tidak tahu. Saya menjawab begitu hanya kerana ayah saya seorang pensyarah. Sehinggakan cikgu saya ketika itu membalas jawapan saya "Oh, nak ikut ayah dia jugak.."

Tetapi apabila meningkat dewasa, saya merasakan jawapan itu semakin sebati dengan saya. Saya sendiri seakan ingin merialisasikannya sehinggalah sekarang!

There's a Malay proverb "ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi"
meaning whatever done by a family will be followed by their siblings.

Datuk sebelah mama, guru. Opah juga guru. Abah pula pensyarah. Kami adik beradik perempuan tiga orang semuanya guru. Alahai.. macam stereotype pula.

Bak kata pepatah Melayu:

"Bagaimana acuan begitulah kuihnya, bagimana contoh begitulah gubahannya"

"Bapa borek, anaknya rintik"

Kini tiba masa saya pula bertanya kepada anak murid saya apa cita-cita mereka. Memandangkan saya mengajar di kawasan agak pedalaman, rata-rata murid-murid memberi jawapan yang agak memeranjatkan saya. Ada yang kata ingin menjadi seorang pencari ayam hutan, pencari akar kayu, penghantar surat, penjual ayam, pembawa lori, tukang buat rumah, malah menjadi nelayan dan penjual ikan turut ada dalam senarai. Jawapan yang agak matang ialah ahli bomba, dan dua orang anak guru di situ memberi jawapan ingin menjadi saintis dan doktor. Bukan ingin memperkecilkan pekerjaan tadi jauh sekali menghina jawapan mereka. Nauzubillah. Cuma apa yang ingin saya katakan di sini ialah mereka memberi jawapan dari apa yang mereka nampak sehari-hari. Sudah tentulah pekerjaan ibu-bapa mereka mempengaruhi jawapan mereka.

Belum sempat saya memberi ulasan kepada jawapan mereka tadi, Nur Zahirah mengangkat tangan dan berkata, "Saya dengan Aman je yang bercita-cita tinggi. Orang lain semuanya bercita-cita rendah aje!" Ketawa saya mendengar Nur Zahirah mengomel begitu. Saya membalas, "Tak baik kata macam tu, semua cita-cita yang awak sebut tu bagus, cuma kalau boleh biar cita-cita kita tu lebih tinggi dari apa yang kita harapkan. Awak semua kena lebih banyak membaca dan melihat dunia ini dengan lebih luas lagi. Pelbagai pekerjaan di luar sana yang boleh dijadikan sumber inspirasi." Saya mahu fikiran mereka lebih terbuka dan tidak terlalu narrow minded. Ah,apalah yang saya harapkan sangat dari insan yang baru lapan tahun mengenal dunia! Saya hanya tersenyum sendirian. Biarkanlah mereka, masih banyak masa lagi untuk mereka mematangkan minda untuk terokai dan jelajahi bumi Allah ini jika diizinkan-Nya.

Pepatah Arab ada mengatakan, "Alangkah sempitnya hidup kalau bukan kerana luasnya cita-cita"

"Didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu sekarang. Kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau" -Sayidina Umar Al-Khatab

"Miskin keadaan tetapi kaya dengan cita-cita" -Peribahasa Cina

"Matangkanlah jiwamu sewaktu muda agar kau dapat mencapai cita-citamu. Untuk mematangkan jiwa kita harus belajar dengan tekun. Untuk menelaah suatu pelajaran pula kita perlu memusatkan perhatian, mengatur ketenangan dan disiplin"

Nampaknya cita-cita tidakkan pernah padam. Walaupun sudah bekerjaya, bukan penghalang kepada kita untuk menggapai cita-cita yang lebih tinggi. Kita berhak memajukan diri dan mengharapkan yang lebih baik. Bukan bersikap seperti berada di comfort zone! (refers to the set of environments and behaviours with which one is comfortable, without creating a sense of risk. a person who has established a comfort zone in a particular axis of his or her life, will tend to stay within that zone without stepping outside of it.)

Oleh itu, biarlah kita merangkak tetapi berjaya mencapai cita-cita, berbanding berlari tetapi putus di tengah jalan!



Cita-cita dunia sahaja ke? Bagaimana pula dengan cita-cita ukhrawi? Bagi menjawab soalan ini, mari baca cerita di bawah:

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.



Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : "Bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin." Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?" Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara iaitu :-

1. bertaubat
2. menyesali dosa yang dilakukan
3. tidak tergila-gilakan dunia
4. tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
5. tinggalkan sifat berbangga
6. tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun." Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik dibandingkan dengan Hatim.

Berbalik kepada cerita saya, selain menjadi guru dan pensyarah, saya bercita-cita untuk membuka sebuah rumah kebajikan untuk orang-orang tua. Dibesarkan oleh nenek sehingga berumur empat tahun sewaktu ibu bapa belajar di Mesir menyebabkan saya agak rapat dengan nenek dan sayangkan orang-orang tua. Maklumlah kawan-kawan nenek yang selalu menghiburkan saya juga tentulah rakan sebayanya. Malah salah seorang daripadanya merupakan bidan sewaktu mama melahirkan saya. Saya sangat sayangkan warga emas sehingga berniat untuk membuka rumah orang-orang tua dan tentulah saya akan dikelilingi oleh mereka setiap hari. Alangkah bertuahnya saya jika dapat merialisasikan impian tersebut!.





0 comments:

Post a Comment