Membaca artikel mengenai catatan peristiwa sebelum dan selepas diserang komando Israel di Berita Harian pagi tadi amat menyentuh jiwa kerdil saya. Betapa banyak pengajaran yang boleh dikutip. Memandangkan blog saya sudah lama bisu, tanpa pengisian baru elok rasanya kita berkongsi artikel tersebut. Semoga ada sisi manfaatnya,insyaAllah.

KAPAL Mavi Marmara umpama madrasah bagi kami kerana di situlah semua sukarelawan yang terbabit dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza menerima pendidikan yang sangat berguna, sekali gus melatih jiwa dan hati kami untuk lebih dekat kepada Allah.

Perjalanan itu, meskipun tidak sempat menghabiskan misi kerana diserang komando Israel, cukup bermakna dalam membuka pelbagai pintu rahsia. Semua petugas umpama baru tamat dalam satu proses pendidikan mengenali erti kemanusiaan dan kehidupan sebenar sebagai hamba Allah.

Empat bulan lalu, hampir setiap hari saya membaca petikan Surah Al‘Imran yang bermaksud: “Para syuhada dianggap hidup di sisi Allah dan sentiasa meminta izin daripada-Nya untuk balik ke dunia dan bertemu dengan pejuang yang masih hidup bagi mengirimkan pesanan supaya jangan takut serta sedih.”

Ketika ayat itu dibacakan setiap hari, sebenarnya saya masih menaruh harapan supaya dibenarkan menyertai misi itu dan Alhamdulillah, berkat izin-Nya, saya akhirnya mendapat kesempatan itu sebagai rombongan terakhir bersama beberapa rakan lain selepas lapan petugas sudah pun bertolak lebih awal ke Istanbul.

Pada 22 Mei, kami bersama dua wakil media Astro Awani, tiba di lapangan terbang di Istanbul dan terpaksa bergegas, berlari ke kaunter tiket untuk mendapatkan pesawat ke Antalya, sebuah pelabuhan di Selatan Turki.

Keadaan kelam-kabut itu semata-mata untuk mendapatkan pesawat domestik dan ketika itu mulut ini tidak berhenti berzikir dan berdoa supaya kami berpeluang dan dapat tiba ke destinasi tepat pada masanya kerana tidak mahu terlepas kumpulan rombongan dan akhirnya, melegakan apabila kami dapat masuk ke pesawat lima minit sebelum ia berlepas.

Dalam pesawat itu, saya duduk di sebelah jurukamera Astro Awani, Samsul Kamal Abdul Latip yang jelas kelihatan masih terpinga-pinga dan seakan belum tahu apa kemungkinan bakal dihadapi dalam misi ini sedangkan dalam pemikiran saya sudah terbayang beberapa perkara yang boleh berlaku termasuk diserang oleh tentera Israel.

Hanya doa yang mampu dipanjatkan semoga kami semua tabah menghadapi sebarang kemungkinan terutama apabila membayangkan kapal kami mungkin dibom, ditawan atau diheret sekiranya memasuki perairan Israel.

Di Antalya, kami ditempatkan di sebuah kompleks sukan selama empat hari iaitu sejak 23 hingga 27 Mei kerana terpaksa menunggu rombongan dari Eropah dan sepanjang tempoh itu, semua sukarelawan terpaksa tidur bertilamkan lantai di ruang terbuka.

Subuh pertama kami di kompleks itu, azan dilaungkan oleh sukarelawan dari Malaysia untuk mengajak semuanya bersembahyang jemaah kerana sebelumnya dilihat kebanyakan orang hanya solat sendirian dan ia juga menjadi detik pemula di mana semuanya bersatu, malah saya sendiri berkesempatan menyampaikan kuliah Subuh dalam bahasa Arab di depan semua orang.

Masih saya ingat, ketika kuliah itu, saya membacakan sepotong ayat – “Hasbunallah Wanikmal Wakil” yang bermaksud memadailah Allah sebagai wakil kami. Ayat itu juga yang dilihat sentiasa disebut di mulut, menjadi zikir ramai orang termasuk mereka dari negara lain sepanjang memijakkan kami di kapal Mavi Marmara.

Masih jelas terbayang di mata saya, begitu ramai masyarakat dari serata dunia termasuk Eropah yang datang sendiri ke kompleks sukan itu dan merayu mahu turut serta dalam rombongan itu tetapi khabarnya hanya sebahagian dibenarkan.

Sebenarnya, banyak kisah menarik untuk dikongsi bersama sepanjang kami di kompleks sukan itu termasuk jeritan seorang warga tua dari Turki ketika dikatakan rombongan itu bakal ditangguh lagi – “Tiga tahun pun akan kami tunggu!”

Di kompleks sukan itu, sempat juga saya berbual dengan anak, Syaima Amatullah, menerusi laman facebook dan dia ada bertanya – “Abah takut tak?” dan jawab saya ketika itu – “Bukankah abah selalu baca ayat dari Surah Al-Imran.” Kenyataan saya itu dipanjangkan anak saya kepada hampir semua rakannya dalam laman web itu.

Tanggal 27 Mei, bermulalah perjalanan jihad kami apabila dibawa menaiki bas yang diiring polis serta disambut meriah oleh ribuan penduduk bandar Antalya dengan memenuhi tepi jalan, melambai serta mengibarkan bendera Turki dan Palestin, selain sebahagiannya membunyikan hon, riuh rendah sama seperti suasana ketika majlis perkahwinan di negara itu.

Terpegun seketika apabila tiba di kapal Mavi Marmara kerana berbeza sekali dengan gambar yang saya lihat. Tak sangka rupa-rupanya kapal setinggi empat setengah tingkat itu begitu besar. Pemeriksaan kastam untuk masuk ke kapal begitu ketat sehinggakan kabel pengecas telefon bimbit tiga pin turut dirampas kerana dilihat berbeza dengan kabel dari negara lain yang hanya ada dua pin.

Masuk saja dalam kapal, saya bersama beberapa rakan lain membuat sujud syukur. Sebahagian yang lain kelihatan masih terpaku kerana seakan tidak percaya akhirnya dapat memijakkan kaki di kapal itu. Ketika itu, ada seorang ahli tarikat berusia 84 tahun berkata - “Aku ke sini untuk turut serta dalam perjuangan Palestin. Apa guna sekadar berzikir jika tidak berjuang bersama.”

Kami diberi makan ala kadar. Sebenarnya jika tak diberi makan pun tak apa sebab tak langsung rasa lapar. Kami makan sekadar untuk mengelakkan lemah dan tidur pun sekadar untuk memastikan badan bertenaga.

Perjalanan kami terhenti di Cyprus pada 28 hingga 30 Mei kerana menunggu kapal lain untuk menyertai konvoi. Sepanjang tiga hari itu, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk ceramah oleh ulama di dalam kapal. Apabila kapal bergerak kembali, satu amaran sudah diberi pada malam 30 Mei kerana mereka nampak ada lampu berkelip di udara yang disyaki helikopter.

Kami juga nampak seakan ada lampu kapal lain bagaikan cuba menghampiri. Ketika itu kami diminta berkumpul dalam kumpulan 15 orang dan dibekalkan jaket keselamatan serta satu topeng gas untuk dikongsi sesama ahli kumpulan.

Jam 1 pagi, keadaan kembali tenang kerana tiada lagi tanda kapal berhampiran, namun kami diminta tidur di luar untuk bersedia terhadap sebarang kemungkinan. Jam 3 pagi, kami dikejutkan dengan sorakan takbir lantaran kumpulan di belakang kapal melihat ada sekumpulan ikan lumba-lumba mengiringi kapal.

Episod serangan bermula sejurus selepas solat Subuh yang ketika itu dirasakan Subuh terakhir kami. Kelihatan beberapa bot menghampiri kami dan helikopter yang berlegar melemparkan bom asap pemedih mata, namun peliknya ia langsung tidak menjejaskan kami kerana tiap kali bom dilempar, ketika itu juga angin akan bertiup kencang menolak asap.

Meskipun keadaan huru-hara dan seakan tidak terkawal, kebanyakan kami tidak terasa gentar. Saya sendiri ditembak di bahu kanan dengan peluru getah tetapi sakitnya hanya sekejap. Malah, ketika ditawan, beberapa kali saya dipijak dan ditendang oleh komando Israel dengan kuat, namun tak pula terasa sakit atau ada kesan lebam.

Selepas ditawan dan diikat dengan tali kabel selama lebih 15 jam, ada di kalangan kami yang berpuasa, namun tidak pula terasa lapar atau lemah. Ketika itu kami hanya ingat Allah. Kekejaman komando Israel bukan sekadar tak beri makan minum, malah tak juga benarkan ke tandas sehingga ada yang terkencing dalam seluar.

Air pun hanya diberi sebotol untuk dikongsi beramai-ramai. Itupun dalam keadaan tangan diikat. Bayangkan betapa kuatnya talian persaudaraan di kalangan kami, meskipun ada yang berlainan agama apabila sesama kami menuang air ke mulut rakan yang lain bersilih ganti.

Di Ashdod, pelabuhan di Israel, kami tidak lagi menerima layanan seburuk di kapal kerana ketika itu kami diuruskan oleh pegawai dari Kementerian Dalam Negeri Israel yang nyata terpaksa melayan dengan baik lantaran sudah menerima tekanan dari kedutaan lain.

Dibawa ke penjara yang masih baru, kami ditempatkan dalam sel besar dengan empat orang sebilik. Ketika itu, sesuatu yang sangat melegakan apabila kami dapat mandi dan membersihkan diri. Tidak berapa lama ditahan kerana akhirnya kami dibebaskan selepas dikunjungi wakil kedutaan Jordan yang memang ditugaskan untuk membebaskan sukarelawan Malaysia dan Indonesia.

Teringat lagi bagaimana berani sekali seorang Ahli Parlimen Kuwait ketika menaiki bas untuk ke Jordan. Sempat dia turun semula ke tangga dan menjerit minta dia dibawa kembali ke sel dengan alasan tidak mahu dibebaskan. Jelas sekali dia seakan mencabar pegawai Israel.

Lucu pula melihat akhirnya pegawai Israel itu pula yang merayu meminta dia naik semula ke dalam bas. Itu semua akibat tekanan kuat yang diberikan kedutaan negara lain yang begitu ramai berkumpul di situ.

Masih sebak di hati ini apabila mengenangkan rakan dari Turki yang tak dibebaskan ketika kami sudah menaiki bas kerana kedutaan mereka belum tiba. Salah seorang warga Turki ada memanggil saya, memeluk dan menangis sambil menawarkan duit poket kerana beranggapan semua barang termasuk dompet saya sudah dirampas.

Sejak dibebaskan pada jam 4.30 petang, Subuh keesokan harinya baru kami sampai di sempadan Israel – Jordan, dan sesuatu yang sangat mengujakan apabila terpandang bendera Malaysia dikibarkan. Ketika itu terasa betapa pemimpin negara kita begitu mengambil berat, malah ketika kami menghubungi Perdana Menteri yang berada di Laos pada jam 2 pagi, beliau masih berdaya menjawab telefon dan menitip pesan kepada kami.

Orang pertama yang saya hubungi sejurus tiba di Jordan dan diberi hadiah sebuah telefon bimbit jenama Nokia dengan kredit panggilan sebanyak sembilan dinar ialah isteri yang kedengaran masih tenang meskipun dalam beberapa laman web sudah beranggapan saya sudah tiada.

Banyak sebenarnya pengajaran yang diperoleh daripada semua kejadian ini di mana ia pasti menguatkan iman kami selain sedar kita hanya insan kerdil yang sudah diaturkan Allah nasibnya serta bersatu seluruh bangsa dunia untuk menentang kekejaman Israel.

(Penulis, bekas Pensyarah UTM yang juga Pengerusi Aqsa Syarif adalah antara 10 sukarelawan Malaysia dalam misi keamanan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui kapal yang diserang Israel baru-baru ini).
Dipetik dari blog: http://bicarailliyyuun.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment