Petua Mengatasi Tabiat Suka Melambatkan Waktu Solat Fardhu :
  • Sembahyang sebaik-baik sahaja masuk waktu sembahyang. 
  • Set jam waktu solat aka. alarm clock pada handphone anda.
  • Tampalkan poster poster berkaitan dosa meninggalkan solat pada dinding bilik.
  • Hentikan aktiviti blogging, facebook, twitter, dan chatting dan terus tunaikan solat.
  • Ingatlah bahawa syaitan itu sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia, supaya manusia jadi orang yang terkutuk di akhirat nanti.
  • Sentiasa ingat bahawa mati itu tidak dapat diramal. Kalau tak sempat solat sebelum ajal tiba, rugilah. 

Seseorang yang selalu berat nak bersolat fardhu, kenalah check dirinya dahulu. Sebab selalunya kalau kita dah rasa berat nak sembah Tuhan, itu ada kaitan dengan dosa-dosa kita. Jadi bertaubatlah bersungguh-sungguh, moga-moga dengan itu Tuhan permudahkan kita untuk menyembahNya.

Hadis Berkenaan Melambatkan Solat Fardhu : 
  • Saad bin Abi Waqas bertanya Rasulullah SAW mengenai orang yang melalaikan sembahyangnya maka jawab baginda : "Iaitu mengakhirkan waktu sembahyangnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu sembahyang lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu sembahyangnya, maka mereka diancam dengan neraka wail".
  • Ibn Abbas dan Said bin Al-Musaiyib turut mentafsirkan hadis di atas "Iaitu orang yang melengah-lengahkan sembahyang mereka sehingga sampai kepada waktu sembahyang lain, maka bagi pelakunya jika mereka tidak bertaubat Allah menjanjikan mereka neraka jahanam tempat kembalinya".
  • Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda : "Sesiapa yang mengumpulkan dua sembahyang tanpa ada halangan, maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar". (Riwayat Al-Hakim)
Seksaan Bagi Oyang Yang Suka Melambatkan Waktu Dan Meninggalkan Solat : 
Mereka yang meninggalkan sembahyang akan menerima seksa di dunia dan di alam kubur tidak terlepas daripada tiga seksaan. Tiga jenis seksa di dalam kubur ialah : 
  • Kubur akan menghimpit-himpit serapat yang mungkin sehingga berselisih tulang-tulang dada.
  • Dinyalakan api di dalam kuburnya dan api itu akan membelit dan membakar tubuhnya siang dan malam tiada henti-henti. 
  • Akan muncul seekor ular yang bernama "Sujaul Aqra" dan ular itu berkata: "Allah menyuruh aku membelasah engkau kerana engkau mensia- siakan sembahyang Subuh."
  • Ia dipukul dari waktu Subuh hingga naik matahari, kemudian dipukul dan dihentak hingga terjunam ke perut bumi kerana meninggalkan sembahyang Zuhur. Kemudian dipukul lagi kerana meninggalkan sembahyang Asar, begitulah seterusnya dari Asar ke Maghrib, dari Maghrib ke waktu Isyak dan seterusnya hingga ke waktu Subuh semula. Demikianlah berterusan seksaan oleh Sajaul Aqra hinggalah hari Kiamat.  

Pada hakikatnya dalam setiap ibadah yang diperintahkan ke atas setiap muslim, terkandung banyak keistimewaan yang dapat dijadikan bekalan mengatasi berbagai rintangan hidup.Di dalam ibadah solat itu sendiri terkandung hikmah yang perlu kita teliti satu persatu, antaranya:
1. Solat umpama jambatan hati yang menghubungkan kita dengan Allah. Kita menghampirkan diri dengan Allah dalam solat dengan harapan memohon hidayah peningkatan iman.Dalam solat kita dapat meluahkan segala penanggungan dan dapat pula bermunajat. Dengan itu  hilanglah segala kerunsingan.
2. Solat menjadi sumber yang mampu mengalirkan tenaga yang sentiasa baru ke dalam jiwa. Pembahagian lima waktu solat fardhu membolehkan kita terus menerus beroleh bekalan baru pada setiap suasana; aman damai, sibuk, sihat maupun sakit. Di mana jua kita berada meskipun dalam perjalanan dan bermusafir.
3. Apabila kita mulai berdiri untuk menunaikan solat dengan khusyuk dan rendah diri kepada Allah, jasad dan akal kita mendapat kerehatan dan bebas dari kesibukan dunia. Jiwa kita pula bertambah tenang setiap kali membaca ayat-ayat Allah dalam setiap rakaat solat. Hati juga menjadi tenteram setelah memohon ampun dari Allah di hujung solat.
4. Setiap muslim yang menunaikan solat dengan hati yang bersih dan ikhlas semata-mata kerana Allah, akan dilimpahi nur, hidayah, sakinah dan rahmat serta kesejahteraan. Hati menjadi tabah dan teguh menghadapi sebarang cabaran hidup. Solatnya menjadi perisai menghadapi fitnah, kemungkaran, hasutan syaitan juga desakan nafsu. Dia sentiasa merasai Allah bersama-samanya di mana jua berada.
5. Setiap kali kita ruku’ dan sujud di dalam solat, kita berada pada situasi mengagungkan serta memuliakan Allah. Setiap mukmin hanya tunduk dan patuh kepada kekuasaan Allah. Sentiasa pasrah kepada Allah dan tidak takut kepada sesiapa pun. Sewaktu sujud, hamba berada paling hampir dengan Tuhannya dan merasai suasana penuh kemesraan.
6. Apabila duduk tasyahhud, kita bersimpuh penuh pasrah. Kemudiannya kita berdoa memohon diperkenankan Allah segala permintaan kita. Selesai solat kita keluar menghadapi urusan hidup dengan jiwa yang tenang dan tenteram. Juga jasad yang sihat dan segar.
7. Dengan terus menerus mendirikan solat kita merasa baru saja berbicara dan berdiri di hadapan Allah, dan akan menghadapNya lagi di waktu solat berikutnya. Dengan sentiasa memelihara solat tepat pada waktunya, kita juga sentiasa bernaung di bawah peliharaan Allah. Hampir dengan Allah dan terpelihara dari gangguan syaitan. Keadaan sedemikian memberi dorongan yang kuat untuk kita sentiasa tunduk dan patuh serta bertawakkal kepada Allah.
Sebahagian daripada bekalan yang terkandung di dalam solat lima waktu yang sangat kita hajatkan untuk menyucikan jiwa, menepis tarikan duniawi dan menghindari segala penyelewengan.
Rasulullah s.a.w sendiri tatkala menghadapi sesuatu masalah, baginda terus menunaikan solat sunat. Dengan cara itu baginda memperoleh kedamaian,ketenangan dan penyelesaian. Baginda juga sangat menggalakkan umatnya supaya sentiasa melakukan qiyamullail (ibadah malam) dengan melakukan solat-solat sunat. Juga menjadi kebiasaan baginda memanjangkan waktu sujudnya di dalam solat tahajjud.
Rasulullah S.A.W juga telah bersabda bahawa terdapat 10 orang solatnya yang tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :
  1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
  2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi  tidak mengeluarkan zakat.
  3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.
  4. Orang lelaki yang melarikan diri.
  5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).
  6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
  7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
  8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
  9. Orang-orang yang suka makan riba’.
  10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh daripada Allah.”
Hassan r.a berkata : “Jika solat kamu itu tidak dapat menahan kamu daripada melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk.”
Semoga kita mengambil berat dengan amalan solat kita seharian. Insyaallah..



0 comments:

Post a Comment