Bahaya Kemewahan

Menurut hadis:

Ertinya:

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi s.a.w bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu kaabah?" Maka jawab sahabat, " Wahai Rasulullah s.a.w tentunya diwaktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki" Lalu Nabi s.a.w bersabda, "Tidak, Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu."

Keterangan:

Hadis ini menerangkan bahawa manusia yang mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan, pagi-petang pakaian silih berganti, hidangan makanan tidak putus-putus, rumah tersergam indah dengan hiasan yang bermacam-macam sering menyangka apabila semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat.


Namun Rasulullah s.a.w mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita." Ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat. Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari beribadat kepada Allah s.w.t sepertimana yang berlaku di hari ini. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari beribadah. Kita sibuk menghimpun harta dan sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk cari jurang emas yang kedua, sehinggalah dia masuk ke dalam tanah (menemui kematian)."


Begitulah gambaran yang sebenar terhadap ketamakan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedar dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat itu sudah tidak berguna lagi. Biarlah kita mencari harta benda dunia pada batas-batas keperluan sahaja, kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buanhnya.

Sama-samalah kita mengambil iktibar daripadanya.



Rujukan: Wan MD Jamal Bin Wan MD Saman